Media

Kesan nominal sekiranya India naikkan duti minyak sawit

Ketua Pegawai Kewangan dan Pengarah Eksekutif IJM Plantations Berhad, Puru Kumaran semasa sidang akhbar selepas AGM IJM Plantations Berhad di Holiday Villa Hotel & Suites, semalam. - Foto Owee Ah Chun

PETALING JAYA: Eksport minyak sawit bertapis Malaysia ke India hanya akan mengalami kesan nominal, sekiranya kerajaan India memutuskan untuk menaikkan duti import komoditi itu, kata IJM Plantations Bhd.

Ketua Pegawai Kewangan dan Pengarah Eksekutifnya, Puru Kumaran, berkata pengguna India akan terus membeli minyak sayuran itu bagi musim perayaan akan datang dan untuk kegunaan harian mereka. Sehubungan itu permintaan tidak akan menguncup.

"Ia hanya membabitkan masa. India akan terus membeli minyak itu sehingga September tahun ini untuk Deepavali dan pembelian akan datang mereka adalah pada Januari tahun depan bagi Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, semalam.

Permintaan hanya akan berkurangan sekiranya pengeluaran minyak bijian India adalah tinggi, tetapi pada ketika ini tanaman mereka tidak begitu baik, katanya.

Ketika ini, India mengenakan cukai import 40 peratus ke atas minyak sawit mentah (MSM) dan 50 peratus ke atas minyak sawit bertapis.

Bagaimanapun, Malaysia, di bawah perjanjian dengan India, mempunyai kelebihan apabila hanya dikenakan cukai import 45 peratus ke atas minyak sawit bertapis dan ini membantu meningkatkan import minyak sawit oleh India antara Januari dan Julai 2019.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joseph Tek Choon Yee, berkata pihaknya tidak berhasrat untuk membeli tanah baharu tetapi akan menyimpan tunai bagi berhadapan masalah yang dihadapi industri perladangan.

"Kami kini dalam usaha mengukuhkan kedudukan dan kami sedang memantau operasi bagi meningkatkan prosedur operasi standard dalam memastikan produk adalah berkualiti tinggi.

"Kami harap pengeluaran tandan buah segar akan melepasi paras satu juta tan bagi tahun kewangan 2020 daripada 976,000 tan dicatatkan dalam tahun kewangan 2019," katanya dan menurutnya kumpulan itu berharap harga MSM akan berlegar antara RM2,100 dan RM2,200 satu tan tahun ini.

Bagaimanapun, Tek berkata bagi kumpulan itu untuk berada “pada kedudukan selesa” adalah pada harga RM2,300 satu tan. - BERNAMA